:

Kidung Agung 2

1

Aku bunga mawar di Saron,

bunga bakung di lembah gunung.

2

Lelaki
Seperti bunga bakung antara semak berduri,

demikianlah sayangku antara puteri.

3

Wanita
Bagaikan pokok epal antara pokok-pokok hutan,

demikianlah sayangku antara kaum lelaki.

Aku suka bernaung di bawahnya,

buah-buahnya manis rasanya.

4

Dia membawa aku ke dewan pesta,

pandangannya padaku penuh cinta.

5

Kuatkanlah aku dengan kismis,

segarkanlah aku dengan epal,

kerana aku sakit asmara.

6

Tangan kirinya menopang kepalaku,

tangan kanannya membelai aku.

7

Berjanjilah,

hai puteri-puteri Yerusalem,

demi rusa dan kijang di padang

bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami.

Nyanyian Kedua 8

Wanita
Aku mendengar suara kekasihku.

Dia lari kepadaku melalui bukit dan gunung.

9

Kekasihku seperti kijang;

dia seperti anak rusa.

Di balik tembok dia berdiri,

dengan matanya dia menatap,

dan mengintip dari kisi-kisi tingkap.

10

Kekasihku berkata-kata kepadaku.


Lelaki
Marilah, hai sayangku,

marilah jelitaku, marilah.

11

Musim sejuk sudah berlalu;

hujan pun sudah berhenti.

12

Bunga di padang sudah mekar.

Inilah masanya untuk menyanyi;

bunyi tekukur terdengar di padang.

13

Buah ara mula masak;

pokok anggur semerbak harum bunganya.

Marilah, hai sayangku,

marilah jelitaku, marilah.

14

Engkau seperti burung merpati

yang bersembunyi di celah-celah bukit batu.

Biarlah kulihat wajahmu yang cantik itu,

biarlah kudengar suaramu yang merdu.

15

Tangkaplah rubah-rubah yang kecil itu,

rubah yang merosakkan ladang anggur,

kerana pokok anggur kita sedang berbunga.

16

Wanita
Kekasihku kepunyaanku,

dan aku kepunyaannya.

Dia menggembala dombanya di tengah-tengah bunga bakung

17

sehingga angin fajar bertiup dan kegelapan pun hilang.

Kembalilah, hai sayangku,

seperti kijang,

seperti anak rusa di pergunungan Beter.

Link: